Friday, April 1, 2011

Kenapa Lambat Bercakap

.“ANAK saya berusia dua tahun tetapi masih belum bercakap. Bukan
tidak boleh atau tidak faham percakapan orang tetapi apabila ditanya,
dia hanya menjawab sepatah dua.

“Namun apabila sepupunya yang tua setahun daripadanya datang ke
rumah, banyak juga perkataan keluar daripada mulutnya,” keluh seorang
ibu bercerita mengenai anaknya.

Sebenarnya ada ramai kanak-kanak yang boleh dikategorikan sebagai
lewat bercakap. Dianggarkan lima hingga 10 peratus kanak-kanak
mengalami gangguan perkembangan yang menyebabkan proses penguasaan
bahasa dan percakapan menjadi lambat.

Ibu bapa perlu tahu, perkembangan bahasa tidak hanya merujuk
kepada percakapan tetapi juga bentuk komunikasi lain seperti bahasa
isyarat, tulisan dan kemahiran visual.

Lewat bercakap boleh disebabkan beberapa masalah dengan:
•Kebolehan bercakap (ada masalah pada korda suara dan lidah)
•Kemasukan percakapan (masalah pendengaran)
•Pemprosesan percakapan (masalah pada otak atau gangguan perkembangan pertuturan)
Dua jenis masalah lambat bercakap ialah kelewatan ekspresif
(kesusahan menggunakan percakapan untuk meminta atau berinteraksi) atau
kelewatan reseptif (sukar menafsir atau memahami percakapan orang). Ada
juga kanak-kanak yang mengalami gabungan kedua-dua keadaan di atas.
Kebanyakan kanak-kanak yang lewat bercakap juga mengalami gangguan
perkembangan bahasa (DLD) dengan kelewatan ekspresif tetapi
perkembangan kemahiran bahasa visual (mengenali ibu bapa dan objek,
bertindak balas terhadap ekspresi muka, mematuhi arahan yang disertakan
gerak badan atau tangan yang memberitahu anda mahukan sesuatu atau
menuding jari ke arah objek diinginkan) yang normal seperti kanak-kanak
lain.

Kanak-kanak ini juga menunjukkan kefahaman normal terhadap
percakapan orang lain, kemahiran mendengar (mengenal dan menoleh ke
arah bunyi), mematuhi arahan mudah tanpa perlukan ditunjuk dengan
perbuatan oleh orang yang memberi arahan, boleh tunjuk anggota badan
atau objek yang disebut walaupun sesetengahnya turut mengalami sedikit
kelewatan reseptif.
Namun jika diberikan rawatan awal (terapi pertuturan), kebanyakan
kanak-kanak boleh bertutur dengan baik apabila masuk sekolah.

Sesetengah kanak-kanak yang menunjukkan tanda kelewatan ekspresif
hanya lambat bercakap dan kelewatan tersusun iaitu perkembangan
pertuturan berlaku secara berperingkat.

Perkembangan pertuturan dan penguasaan bahasa kanak-kanak ini akan
menjadi normal dengan peningkatan umur tanpa sebarang rawatan.
Malangnya sehingga kini tiada kaedah membezakan atau menentukan
sama ada seseorang kanak-kanak mengalami kelewatan tersusun yang boleh
bertutur dengan peningkatan umur dengan kanak-kanak yang memerlukan
terapi.

Masalah pendengaran juga boleh menyebabkan kanak-kanak lewat
bercakap. Justeru, kanak-kanak yang disyaki mengalami masalah ini perlu
dibawa menjalani ujian pendengaran.

Jangan anggap mereka boleh mendengar hanya kerana kanak-kanak ini
menunjukkan tindak balas kepada bunyi tepukan yang kuat, loceng atau
datang apabila dipanggil dari bilik sebelah.

Punca lain kelewatan bercakap termasuk masalah membabitkan otak
seperti terencat akal dan autisme. Selain kelewatan ekspresif dan
reseptif, perkembangan kemahiran bahasa visual (mengenali objek,
bertindak balas terhadap mimik muka, mematuhi arahan dengan ditunjukkan
pergerakan tangan) juga lambat.

Bagaimanapun, keadaan ‘berat mulut’, malas bercakap atau mempunyai
ramai adik beradik yang lebih banyak bercakap atau dibesarkan dalam
keluarga bertutur dua bahasa tidak menyebabkan masalah kelewatan
bercakap.
Senarai di bawah adalah sebagai panduan terhadap perkembangan
percakapan kanak-kanak. Kanak-kanak yang menunjukkan pencapaian 75
peratus, perkembangan pertuturan mereka boleh berlaku secara normal.
Namun ini hanya panduan, dapatkan nasihat pakar kanak-kanak jika anak
anda tidak menunjukkan perkembangan seperti disenaraikan. Kelewatan
bercakap jika disebabkan kurang pendengaran perlu dikenal pasti seawal
mungkin.

Perkembangan percakapan

•Bayi baru lahir — Boleh mendengar dan membezakan sama
ada bunyi datang dari kiri atau kanan. Mereka akan menggerakkan kepala
ke arah sumber bunyi. Bayi anda juga sepatutnya boleh memberi tindak
balas kepada bunyi perlahan. Bayi mula senyum dan menunjukkan gerak
balas kepada seseorang pada umur sebulan dan mengenali suara ibu bapa
pada umur satu hingga 2½ bulan

•Tiga hingga enam bulan — Bayi boleh meniru bunyi percakapan

•Empat hingga lapan bulan — Bayi menyebut satu suku kata (contoh ba, da, ga, gu)

•Lima hingga sembilan bulan — Bayi menyebut beberapa suku kata berulang-ulang (contoh bababa, lalala)

•Enam hingga 10 bulan — Bayi mula menyebut perkataan mudah yang kerap didengar (emak, ayah, tak)

•Lima hingga 10 bulan — Kebanyakan bayi boleh menyebut mama, dada — yang tidak hanya merujuk kepada ibu dan ayahnya

•Enam hingga sembilan bulan — Kebanyakan bayi boleh

mengikut atau mematuhi arahan pendek yang disertakan dengan pergerakan

badan atau tangan. Contohnya meminta dia memegang objek atau tangan

anda. Dalam lingkungan umur tujuh hingga 11 bulan, bayi sepatutnya

boleh mematuhi arahan ringkas tanpa perlu ditunjuk dengan tangan

•Tujuh hingga 12 bulan — Sudah pandai menggunakan perkataan mama, emak atau ayah dengan betul

•Sembilan hingga 14 bulan — Biasanya sudah boleh menyebut satu patah perkataan (selain emak, ayah)

•10 hingga 15 bulan — Sepatutnya bayi boleh menunjuk ke arah objek yang dikehendakinya

•11 hingga 20 bulan — Anak anda seharusnya boleh menyebut empat hingga enam perkataan (selain emak, ayah atau nama adik beradik)

•14 hingga 21 bulan — Si kecil boleh mematuhi arahan dua

langkah tanpa bantuan pergerakan tangan (contoh ‘Duduk di sini dan

makan’). Pada umur 14 hingga 18 bulan, dia seharusnya boleh menunjukkan

dua atau lebih anggota badan dan meningkat kepada enam anggota badan

pada umur 22 bulan

•16 hingga 20 bulan — Kanak-kanak boleh menyuarakan kehendaknya dalam satu perkataan (jus, susu, lagi, banyak)

•18 hingga 22 bulan — Si kecil sudah boleh menggabungkan dua perkataan atau ayat mudah seperti ‘hendak susu’ atau ‘mahu lagi’

•16 hingga 24 bulan — Kanak-kanak seharusnya sudah boleh menguasai lebih 50 patah perkataan

•19 hingga 26 bulan — Menggunakan perkataan saya, awak

walaupun kadangkala terbalik. Kebanyakan kanak-kanak boleh menyebut

perkataan dengan baik apabila berumur 30 bulan

•24 bulan — Percakapannya boleh difahami separuh oleh orang lain atau individu yang jarang berjumpa kanak-kanak berkenaan

•24 hingga 32 bulan — Boleh menamakan empat gambar

•26 hingga 32 bulan — Boleh bercakap dalam dua hingga tiga ayat mudah

•27 hingga 34 bulan — Boleh memahami dua arahan dalam satu ayat contohnya ‘Letak cawan di atas meja atau sebelah buku’

•29 hingga 34 bulan — Boleh menamakan dan kegunaan
sekurang-kurangnya dua objek. Kanak-kanak seharusnya boleh mengenali
satu warna pada umur 2½ hingga 3¼ tahun dan empat warna pada umur tiga
hingga 4½ tahun

•Tiga tahun — Hampir 75 peratus pertuturannya boleh
difahami orang yang jarang bertemu kanak-kanak ini. Pada umur ini
mereka boleh menguasai lebih 250 perkataan. Pada umur empat tahun,
percakapannya seharusnya boleh difahami sepenuhnya dan mampu menguasai
600 perkataan

Saringan pendengaran boleh dilakukan pakar kanak-kanak melalui
satu ujian mudah (audimetri) apabila mereka boleh memberi kerjasama
(biasanya selepas umur empat tahun). Kanak-kanak (dari dilahirkan
hingga empat tahun) perlu berjumpa pakar pendengaran untuk ujian
selanjutnya.

Jika anda fikir anak anda lewat bercakap, bawa si kecil untuk
jalani ujian pendengaran. Pada masa sama kanak-kanak yang ada masalah
lewat bercakap juga perlu dirujuk kepada pakar terapi pertuturan atau
pakar psikologi jika perlu secepat mungkin.

Pada masa sama ibu bapa juga boleh membantu meningkatkan percakapan anak dengan:

•Membaca buku kepada anak, terutama buku bergambar di mana anda boleh mengajaknya untuk menunjuk atau menamakan objek

•Gunakan bahasa mudah apabila bercakap dengan anak,
dibantu dengan gerak badan atau tangan. Tanya banyak soalan kepada
anak. Pastikan anda ‘bercakap’ dengan si kecil dan bukan memberi arahan

•Beri tindak balas segera apabila anak bercakap untuk memberi dorongan kepadanya

•Ulang perkataan atau ayat anak anda dengan menambah beberapa perkataan lagi bagi memanjangkan ayat berkenaan

•Sabar melayan anak dan jangan marah jika dia melakukan kesilapan. Beri masa untuk anak menghabiskan ayatnya

•Jangan paksa anak bercakap.

3 comments:

  1. ooo.. camtu erk... dpt satu ilmu lagi arie ni.... tq

    ReplyDelete
  2. anak akak semua lambat bercakap... tapi bila dah pandai bercakap... adoiii... letih la pulak nak layan soalan... ^_^

    kenal pasti dgn usaha klu anak ada masalah tu perlu, klu tak... tak pe biar saje la... nnt2 ok... ;p

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam ank akak lmbt ckp umur brp tu

      Delete